
ROBAN – Pelajar Tingkatan Lima diseru agar tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu melengkapkan diri dengan penguasaan teknologi, pemikiran kritis, kemahiran komunikasi serta kepimpinan sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sistem pendidikan pada masa kini bukan sekadar berteraskan keputusan peperiksaan, tetapi ia turut menuntut pembentukan sahsiah, kreativiti dan keupayaan seseorang pelajar dalam menyelesaikan masalah.
Menurutnya, keperluan melahirkan pelajar dengan kemahiran yang holistik itu adalah selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi penekanan terhadap kelestarian akses dan kualiti pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penguasaan ilmu asas, pendidikan digital termasuk kecerdasan buatan (AI) serta peluasan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan antara aspek utama yang turut digariskan menerusi kerangka RPM 2026–2035.
Justeru, beliau menasihatkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar terus berusaha gigih, menguruskan masa dengan bijak dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan sebarang cabaran.
“Setiap individu mempunyai kelebihan, bakat dan potensi yang berbeza. Yang penting, kenali potensi diri, teruskan usaha dan jangan berhenti memperbaiki kelemahan diri.
“Bagi penerima anugerah, jadikan pencapaian ini sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh. Bagi yang belum menerima pengiktirafan pula, jangan berasa rendah diri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pendidik dan ibu bapa atas sokongan serta pengorbanan mereka dalam usaha membentuk generasi muda yang berilmu, berdisiplin dan berdaya saing.
Tambah beliau, penganjuran majlis pengiktirafan seumpama itu diharap dapat terus memacu SMK Kalaka sebagai institusi pendidikan unggul yang berupaya melahirkan generasi pewaris negara yang cemerlang.







