ALOR SETAR – Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM155,000 antara tahun 2024 hingga tahun lalu.
Pegawai kanan terbabit dan dua lagi iaitu penjawat awam dan pemilik syarikat berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk proses reman pada pagi tadi.
Majistret Eliana Ismail kemudian membenarkan ketiga-ketiga mereka direman selama lima hari sehingga 10 Oktober ini.
Menurut sumber, penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan kes memberi dan menerima rasuah kira-kira RM155,000 sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan baju sukan.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.
“Bagi dua suspek yang merupakan penjawat awam, mereka disyaki telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.






