
KUNAK – Jalan raya sepanjang kira-kira 300 meter menghubungkan Kampung Jaya Baru dengan Pasar Tamu Mingguan Kunak akhirnya selesai diturap semula bagi memberi keselesaan sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Anil Sandhu berkata, usaha itu dibuat susulan jalan berkenaan hanya ditampal menggunakan batu kerikil dan mengalami kerosakan berulang sejak kira-kira tujuh tahun lalu.
“Peruntukan ini kita mohon daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah jalan yang telah lama menjadi keperluan masyarakat setempat.
“Lebih kurang 6 bulan yang lalu, saya telah berjanji akan menyuarakan dan memberi komitmen untuk mengusahakan perkara ini.
“Alhamdulillah, janji yang dibuat dapat kita tunaikan,” katanya kepada media selepas meninjau Jalan Jaya Baru bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kunak.

Menurut Anil Yang juga ADUN Kunak, keadaan struktur jalan yang sebelum ini berlopak dan tidak rata bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna, malah menyukarkan pergerakan kenderaan khususnya ketika musim hujan.
“Dengan siapnya penurapan semula ini, penduduk kini dapat menggunakan laluan berkenaan dengan lebih selesa dan selamat, terutama mereka yang berulang-alik antara Kampung Jaya Baru, Pasar Tamu Mingguan dan kawasan sekitar.
“Ini adalah bukti bahawa apabila kita terus berusaha, membawa suara rakyat dan bekerjasama dengan pihak yang berkaitan, insya Allah sesuatu yang kita perjuangkan dapat direalisasikan.
“Semoga ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk selain memastikan akses jalanraya luar bandar terus berada dalam keadaan baik, sekaligus menyokong aktiviti harian dan ekonomi masyarakat setempat,” jelasnya.
Tambah Anil laluan itu turut dilengkapi beberapa lampu solar sekaligus meningkatkan aspek keselamatan serta memberi keselesaan kepada penduduk yang menggunakan jalan tersebut, khususnya pada waktu malam.





