
MIRI – Taman Negara Bukit Lambir bukan sekadar kawasan rekreasi dan hutan perlindungan, malah merupakan khazanah alam yang mempunyai nilai biodiversiti penting kepada Sarawak dan rantau Asia Tenggara.
Datuk Bandar Miri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pengiktirafan taman negara itu sebagai ASEAN Heritage Park mencerminkan kepentingannya dalam usaha pemuliharaan biodiversiti di peringkat serantau.
Menurutnya, tanggungjawab memelihara khazanah berkenaan perlu dipikul bersama oleh semua pihak bagi memastikan warisan alam itu terus terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Program Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) ‘The Insects of Lambir Hills National Park’ di Taman Negara Bukit Lambir, pada Sabtu.
Program yang berlangsung sejak 28 September lalu itu memberi tumpuan kepada pendidikan biodiversiti menerusi penganjuran ceramah, kuiz serta pertandingan mewarna khusus untuk generasi muda.
“Program ini membawa kita melihat alam dari perspektif yang berbeza. Walaupun bersaiz kecil, serangga memainkan peranan besar dalam pendebungaan, kitaran nutrien dan mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan.
“Melalui aktiviti seumpama ini, ia membantu generasi muda mengenali serta menghargai biodiversiti yang terdapat di sekeliling kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Adam berkata pembangunan Miri sebagai bandar raya yang menekankan kelestarian perlu sentiasa bergerak seiring dengan usaha pemeliharaan alam sekitar.
Jelas beliau, pendidikan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, penglibatan komuniti dan pembangunan ekopelancongan lestari merupakan antara elemen penting dalam membentuk masa depan Miri yang lebih hijau.
Untuk rekod, Taman Negara Bukit Lambir secara rasmi telah menyertai rangkaian ASEAN Heritage Park pada September 2025.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyifatkan kawasan terbabit sebagai antara lokasi penting bagi kepelbagaian tumbuhan dan habitat pelbagai spesies hidupan liar.
Kajian berkaitan serangga di Bukit Lambir juga telah lama dilaksanakan, merangkumi penyelidikan bersama institusi tempatan dan antarabangsa bagi memahami kepelbagaian serta fungsi hidupan berkenaan dalam ekosistem hutan tropika.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah wakil pengurusan SFC, Japanie B.

