
TEBEDU – Pembangunan sahsiah, tanggungjawab sosial serta penglibatan aktif golongan muda dalam komuniti menjadi fokus utama penganjuran Hari Belia St John Marie Vianney di Kampung Krusen Kranji, pada Sabtu.
Program yang berlangsung di balai raya kampung berkenaan telah menghimpunkan belia setempat dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada.
Objektif penganjuran program itu menyediakan platform penting kepada golongan muda untuk memperkukuh hubungan sesama komuniti, di samping membina nilai tanggungjawab terhadap keluarga menerusi pengisian yang menjurus kepada kerohanian dan pembangunan sahsiah.
Dalam majlis yang sama, Dr Simon turut menyempurnakan penyerahan salinan sijil penyukatan tanah kepada penduduk yang terlibat menerusi Program Dokumentasi Tanah kelolaan Dayak Bidayuh National Association (DBNA).
Mengulas mengenai inisiatif serampang dua mata itu, beliau berkata, program dokumentasi dan penyukatan berkenaan terbukti memberi manfaat besar dalam membantu penduduk memiliki rekod tanah yang diurus secara lebih teratur.
“Langkah tersebut juga berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat di peringkat akar umbi mengenai kepentingan mendokumentasikan pemilikan tanah secara sistematik,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menaruh harapan agar penganjuran program pemerkasaan seumpama itu dapat diteruskan bagi melonjakkan pembangunan belia, sekali gus menggalakkan penyertaan aktif generasi muda dalam merancakkan ekosistem komuniti.

