
KUCHING – Bantuan bersasar, sokongan kepada peniaga kecil, peluang pekerjaan dan usaha menangani kos sara hidup merupakan antara harapan utama yang disuarakan rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Penjawat awam, Fraddie Tikes, 41, berharap kerajaan memberi tumpuan kepada pemberian bantuan dan inisiatif yang dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah, keluarga kurang berkemampuan, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Bantuan yang disalurkan diharap dapat memenuhi keperluan asas rakyat, membantu meningkatkan kesejahteraan hidup dan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat pembangunan negara.
“Bantuan sedia ada juga perlu diperluas dan ditambah baik supaya penyalurannya lebih bersasar, berkesan serta sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Bagi peniaga, Lucia Japong, 29, Belanjawan 2027 diharap memberi perhatian lebih besar kepada golongan peniaga kecil menerusi penyaluran bantuan kewangan, geran perniagaan, kemudahan pinjaman berkadar faedah rendah dan program latihan keusahawanan.
Menurutnya, sokongan berterusan itu penting bagi membantu usahawan kecil menangani peningkatan kos operasi, mengembangkan perniagaan, meningkatkan daya saing serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Sementara itu, anggota bomba, Muhammad Haniff Salaini, 29, berharap isu kos sara hidup terus diberikan perhatian khusus, terutama bagi membantu keluarga muda dan golongan berpendapatan sederhana.
Beliau turut menaruh harapan agar pembangunan infrastruktur, prospek peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi terus diperkukuh supaya kemakmuran dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.
Aspirasi disuarakan responden itu dilihat selari dengan Kenyataan Prabelanjawan 2027 Kementerian Kewangan (MOF) yang menggariskan 10 bidang tumpuan utama, termasuk usaha meringankan beban sara hidup, meningkatkan pendapatan, membuka peluang pekerjaan berkualiti serta memperkukuh perlindungan sosial.






