Kebebasan berkarya perlu seiring tanggungjawab, hormati Rukun Negara

KUCHING – Kebebasan berkarya dalam bidang seni perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan, etika serta tanggungjawab sosial dan kenegaraan tanpa mengekang penghasilan karya yang kritis.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, kreativiti yang tinggi perlu disertai dengan kematangan pemikiran, manakala keberanian berekspresi wajar mengambil kira kesannya terhadap masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada Ahad.

“Kebebasan berkarya bukanlah suatu kebebasan tanpa sempadan, sebaliknya suatu amanah yang menuntut kebijaksanaan dalam menentukan batas, kehalusan dalam menyampaikan gagasan dan kebertanggungjawaban terhadap kesan karya kepada masyarakat,” katanya.

Menyentuh perkembangan industri, Mohd Radzi menggesa penggiat seni supaya mengambil iktibar daripada kontroversi membabitkan pementasan sebuah teater baru-baru ini yang dilihat mencemarkan prinsip asas Rukun Negara.

Katanya, insiden itu wajar dijadikan peringatan supaya penggiat seni sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat dan menghormati asas kenegaraan yang menjadi tunjang keharmonian serta perpaduan rakyat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan teguran tersebut tidak bermaksud karya bersifat kritis, eksperimental atau yang mencabar pemikiran awam perlu diketepikan sama sekali.

Sebaliknya, karya sedemikian amat diperlukan dalam membentuk komuniti yang matang dan terbuka, dengan syarat ia disampaikan secara berhemah, beretika dan bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau berkata, teater bukan sekadar medium hiburan semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai ruang intelektual untuk mengetengahkan persoalan masyarakat, membangkitkan kesedaran serta menyuburkan empati.

Dalam konteks Sarawak yang memiliki kepelbagaian etnik, bahasa, adat dan warisan, tambahnya, pentas teater turut berperanan mengangkat suara masyarakat tempatan serta merakam pengalaman generasi terdahulu untuk diwariskan kelak.

Mengulas mengenai Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026, Mohd Radzi berkata program bertemakan “Naratif Sungai, Hutan dan Manusia” yang berlangsung dari 28 September hingga 4 Oktober itu telah berjaya menghimpunkan tujuh penyertaan kumpulan teater.

Jelasnya, penganjuran di peringkat zon itu merupakan sebahagian daripada usaha membuka ruang kepada penggiat teater mengetengahkan bakat serta identiti tempatan sebelum mereka melangkah ke pentas kebangsaan pada 2027.

Justeru, beliau menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, agensi kebudayaan, institusi pendidikan serta organisasi seni untuk memperkukuh ekosistem industri terbabit.

Related Posts

Dua lelaki bermotosikal rempuh anggota polis di sekatan jalan raya Jalan Padungan

KUCHING – Polis menyiasat kejadian dua lelaki bermotosikal yang melanggar seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di Jalan Padungan. Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemetaan budaya ‘Voices of Old Kuching’ rakam warisan, memori komuniti

KUCHING – Warisan Old Kuching bukan hanya tertumpu pada bangunan dan tapak bersejarah, malah turut merangkumi kelestarian cerita, memori, budaya serta pengalaman masyarakat yang diwarisi merentas generasi. Pendekatan komprehensif itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM

Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM

Dua lelaki bermotosikal rempuh anggota polis di sekatan jalan raya Jalan Padungan

Dua lelaki bermotosikal rempuh anggota polis di sekatan jalan raya Jalan Padungan

Jerebu masih tidak reda di tujuh kawasan

Jerebu masih tidak reda di tujuh kawasan

Pemetaan budaya ‘Voices of Old Kuching’ rakam warisan, memori komuniti

Pemetaan budaya ‘Voices of Old Kuching’ rakam warisan, memori komuniti

Hari Belia St John Marie Vianney perkukuh jati diri generasi muda Krusen Kranji

Hari Belia St John Marie Vianney perkukuh jati diri generasi muda Krusen Kranji

Biodiversiti Bukit Lambir khazanah alam yang perlu dipelihara – Adam Yii

Biodiversiti Bukit Lambir khazanah alam yang perlu dipelihara – Adam Yii