KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau kawasan G Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menempatkan sebahagian besar pemegang Tiket MADANI sempena perlumbaan Formula 1 (F1).
Anwar turut meluangkan masa menyantuni peminat F1 yang hadir selain meninjau Karnival Litar Rasa MADANI yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan.
Beliau berkata, suasana di lokasi berkenaan meriah dengan pemandangan litar yang menarik, selain pengunjung berpeluang menikmati pelbagai makanan dan minuman termasuk snek serta makanan ringan yang ditawarkan peniaga tempatan.
“Meriah suasana di sini, dengan pemandangan litar yang menarik serta Karnival Litar Rasa MADANI yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan.
“Sambil menikmati perlumbaan di litar, bolehlah menjamu selera dan menyokong peniaga kita!” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, penganjuran karnival berkenaan antara usaha memastikan kemeriahan F1 turut memberi limpahan manfaat ekonomi kepada peniaga tempatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua agensi yang terbabit dalam menjayakan karnival berkenaan.
Kepulangan F1 ke SIC selepas sembilan tahun bukan sahaja menarik perhatian peminat sukan permotoran, malah membuka peluang kepada usahawan mikro tempatan memperluas pasaran menerusi Litar Rasa MADANI yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix (GP) Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.






