
PENAMPANG – Golongan belia perlu diberi lebih banyak ruang meneroka seni dan kreativiti kerana bidang itu bukan sekadar hobi, malah mampu menjadi medium mengekspresikan identiti serta keunikan Sabah.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Rakyat Penampang, Eldridge Laurence Timis berkata, golongan muda mempunyai peranan penting untuk meneruskan dan mengembangkan identiti negeri menerusi kreativiti serta karya yang dihasilkan.
“Sabah yang kaya dengan keindahan alam, budaya dan warisan mempunyai pelbagai keunikan yang boleh diterjemahkan oleh golongan belia melalui bidang seni.
“Seni membolehkan kita menceritakan identiti dan keunikan Sabah. Golongan belia mempunyai peranan penting untuk meneruskan dan mengembangkan identiti ini melalui kreativiti dan karya mereka,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Ahad.

Menurut Eldridge, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Teraju Muda Penampang bersama Sahabat Madani Penampang dan BloomingCrafts Kota Kinabalu itu menghimpunkan golongan belia dalam suasana santai, kreatif dan penuh semangat kebersamaan.
“Menerusi program ini, peserta berpeluang menghasilkan karya kreatif sendiri selain berkongsi idea, berinteraksi dan membina jaringan bersama rakan sebaya.
“Pendekatan berasaskan seni dan kreativiti seperti itu penting bagi menyediakan ruang kepada golongan belia mencungkil bakat serta mengembangkan potensi masing-masing.
“Penglibatan dalam aktiviti seni juga membolehkan golongan muda mencuba pengalaman baharu, selain membina kemahiran dan keyakinan dalam menghasilkan karya,” ujarnya.

Tambahnya, seni sewajarnya dilihat lebih luas sebagai medium ekspresi diri, pembangunan kemahiran serta ruang untuk golongan belia meneroka potensi masa depan.
“Oleh itu, saya berharap agar lebih banyak inisiatif berasaskan seni dan kreativiti dapat diwujudkan bagi memberi peluang kepada golongan belia mengembangkan bakat masing-masing.
“Usaha ini bukan sahaja dapat melahirkan belia yang kreatif, malah memberi peluang kepada generasi muda mengenali dengan lebih dekat nilai budaya dan identiti negeri sendiri.
“Generasi muda perlu menjadi sebahagian daripada perkembangan seni dan budaya Sabah supaya identiti serta cerita negeri itu terus berkarya, berkembang dan dibawa ke masa hadapan,” tegasnya.
Katanya, Program Youth x Craft turut mencerminkan usaha berterusan memperkasa golongan belia agar terus bergerak, berkarya dan menyumbang kepada komuniti.
“Dalam masa sama, program itu membuka ruang kepada golongan muda untuk melihat seni dan kreativiti sebagai satu bidang yang mempunyai potensi dalam pembentukan masa depan mereka serta perkembangan seni dan budaya Sabah,” terangnya.





