
BATU PAHAT – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan semua perkara di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan kejadian kematian seorang pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, dekat sini diperiksa secara menyeluruh.
Beliau berkata, langkah itu termasuk menyemak rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, aspek kawalan keselamatan serta rondaan di kawasan sekolah.
“Jangan sembunyikan apa-apa,” katanya dalam hantaran di media sosial selepas turun padang mendapatkan perkembangan terkini kejadian itu hari ini.
Fadhlina berkata, beliau menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah berhubung kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dijalankan.
Beliau turut menemui keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
“Dalam saat begini, tiada siapa yang merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.

Menurut Fadhlina, berdasarkan maklumat PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, syarikat kawalan keselamatan sekolah turut diminta memberikan kerjasama bagi membolehkan aspek keselamatan diperiksa.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
“KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, sokongan kaunseling sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian berkenaan.
Fadhlina turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.





