
PENAMPANG – Tiga kawasan di daerah ini dilanda banjir susulan hujan berterusan malam tadi, menyebabkan 30 penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kawasan terjejas membabitkan Kampung Penampang Proper, kawasan belakang Loji Rawatan Air Kasigui dan Kampung Kibabaig.
Kongsinya, daripada jumlah itu, 10 penduduk dari Kampung Penampang Proper, 14 dari kawasan belakang Loji Rawatan Air Kasigui dan enam dari Kampung Kibabaig dipindahkan ke PPS berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, operasi pemindahan bermula kira-kira pukul 10.38 malam, 1 Oktober dan berakhir sekitar 1.30 pagi tadi selepas semua penduduk terjejas berjaya dipindahkan ke tempat selamat.
Tambahnya, operasi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menggunakan kenderaan Vigo serta bot NADMA.
Setelah memastikan semua mangsa selamat dan tiada lagi penduduk yang memerlukan bantuan pemindahan, operasi ditamatkan..




