
SIBU – Hospital Sibu memberi penghormatan kepada seorang wanita yang telah meninggal dunia selepas beliau mendermakan buah pinggang dan kornea, sekali gus menjadi penderma organ pepejal pertama di hospital berkenaan sejak 2019.
Hospital Sibu menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan, bangunan hospital tersebut disinari cahaya hijau pada malam Khamis sebagai tanda penghormatan kepada mendiang yang dikenali sebagai Madam SK.
Menurut kenyataan itu, mendiang telah memilih untuk mendermakan organ dan tisu bagi memberi harapan baharu kepada pesakit lain.
“Madam SK merupakan seorang isteri penyayang, ibu prihatin serta pendidik sepanjang hayat yang meninggalkan legasi bermakna menerusi keputusan murninya untuk menjadi penderma organ.
“Sebagai penderma organ, Madam SK menyumbangkan buah pinggang dan korneanya bagi menyelamatkan nyawa serta membantu memulihkan penglihatan insan yang tidak dikenalinya.
“Keputusan murni itu berpotensi memulihkan penglihatan, membawa harapan dan memberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan kepada insan lain,” menurut kenyataan itu.
Pihak hospital turut merakamkan penghargaan kepada mendiang serta keluarganya atas keberanian, keprihatinan dan kemurahan hati mereka dalam membuat keputusan berkenaan ketika berdepan detik kehilangan yang amat sukar.
Jelas kenyataan itu lagi, pendermaan organ dan tisu merupakan antara sumbangan terbesar yang boleh diberikan oleh seseorang.
Tambahnya, satu keputusan yang diambil mampu mengubah kehidupan, meringankan penderitaan pesakit serta memberi harapan baharu kepada keluarga yang menanti pemindahan organ.
“Keprihatinan keluarga mendiang mengingatkan kita bahawa walaupun dalam detik kehilangan, kita masih mampu mencipta harapan untuk orang lain,” jelas kenyataan itu.
Susulan pengorbanan tersebut, Hospital Sibu menyeru orang ramai supaya mempertimbangkan ikrar sebagai penderma organ serta berkongsi hasrat berkenaan dengan ahli keluarga dan insan tersayang.
Foto: Facebook Hospital Sibu


