
KUCHING – Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-24 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Simpok di Dewan Kampung Simpok pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat hadir bersama anggota RELA dan penduduk setempat bagi meraikan sambutan yang menjadi wadah untuk menghargai khidmat serta sumbangan pasukan sukarelawan itu kepada komuniti.
Sambutan berkenaan turut memberi ruang kepada anggota RELA dan masyarakat untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Majlis itu sekali gus mengetengahkan semangat kesukarelawanan yang utuh antara anggota RELA dengan penduduk dalam pelaksanaan program di peringkat akar umbi.
Peranan RELA merangkumi penyertaan dalam khidmat masyarakat serta membantu pasukan atau pihak berkuasa keselamatan apabila diperlukan, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752).



