
ROMPIN – Bentuk muka bumi berpaya serta risiko ancaman binatang buas antara cabaran utama yang dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi mencari (SAR) warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang, sejak sembilan hari lalu.
Operasi SAR Kuang Poh, 73, yang dilapor tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing di Kampung Lesung, Kedaik di sini pada 22 September lalu, kini memasuki hari kelima dengan liputan carian diperluaskan sehingga 14 kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, sehingga kini pasukan SAR belum menemukan sebarang petunjuk baharu bagi mengesan kedudukan mangsa.
“Laluan carian mendedahkan anggota pasukan penyelamat kepada risiko pertemuan dengan haiwan liar seperti harimau dahan, harimau Malaya dan gajah.
“Selain itu, keadaan kawasan paya turut menuntut ketahanan fizikal untuk memasuki radius pencarian.
“Radius carian kini diperluaskan kepada 14km. Tumpuan utama hari ini ditumpukan di kawasan paya dan sungai yang terletak dalam lingkungan lima kilometer dari kediaman mangsa,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Sharif Shai berkata, selain unit anjing pengesan (K9), pasukan penyelamat turut menggunakan khidmat unit dron khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menjalankan pemantauan udara serta mengesan sebarang pergerakan di kawasan terbabit.
Beliau berkata, operasi SAR hari ini membabitkan kekuatan 46 anggota merangkumi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, PDRM, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, penunjuk jalan hutan serta penduduk kampung.

