
BINTULU – Sarawak Metropolitan Food Cluster (SMFC) Consortium mempamerkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem bersepadu yang menyokong pembangunan Metropolitan Food Cluster (MFC) Opar sempena Sarawak Agrofest 2026.
Pameran itu mengetengahkan penggunaan pendigitalan, pertanian tepat, pertanian persekitaran terkawal dan pendekatan ekonomi kitaran dalam pembangunan MFC Opar di Stungkor, Lundu.
MFC Opar yang meliputi keluasan kira-kira 84 hektar dibangunkan sebagai hab pembangunan agro bersepadu yang menggabungkan pengeluaran makanan moden, pemprosesan, teknologi, logistik dan kemudahan sokongan dalam satu ekosistem.
Projek tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta melibatkan SMFC Consortium dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), sebuah agensi di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).
Menurut SMFC, pembangunan hab berkenaan disasarkan siap pada tahun 2027 dan kemajuannya kini mendahului jadual.
Antara pendekatan yang dipamerkan di reruai itu ialah konsep ‘Plant Empowerment’ yang memberi tumpuan kepada pengurusan parameter pertumbuhan termasuk kelembapan, suhu, keadaan substrat serta profil tanaman bagi membantu mengoptimumkan pertumbuhan.
Turut diketengahkan ialah pertanian berasaskan data dan teknologi pertanian autonomi yang diadaptasi dari Belanda, selain konsep ekonomi kitaran bagi memanfaatkan bahan serta produk sampingan pertanian.
Bagi komponen ekonomi kitaran, pameran itu menunjukkan kaedah memanfaatkan produk sampingan sektor pertanian dan industri makanan dalam ekosistem makanan ternakan bagi mengurangkan sisa, seterusnya menghasilkan nilai tambah.
Pendekatan ini bertujuan menghubungkan pengeluaran, data, infrastruktur, pemprosesan dan aspek kelestarian dalam satu ekosistem pertanian bersepadu berbanding penggunaan teknologi secara berasingan.
MFC Opar dirancang untuk merangkumi pusat penyatuan, kilang pemprosesan makanan dan minuman, kilang pemprosesan makanan ternakan, rumah hijau dan pusat perkhidmatan rumah hijau.
Hab itu juga akan dilengkapi pusat pengalaman yang merangkumi dewan acara, pusat runcit dan pejabat.
Terdahulu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menerima taklimat ketika mengunjungi reruai SMFC di tapak pameran tersebut.
Sarawak Agrofest 2026 anjuran M-FICORD berlangsung di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu bermula 25 September hingga 4 Oktober ini dengan tema ’Innovating Agriculture for Food Security’.

