
KUCHING – Seramai 105 individu menerima Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) sebagai satu bentuk validasi terhadap tahap kemahiran dan pengalaman praktikal yang diraih mereka di luar sistem pendidikan formal.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengiktirafan di bawah inisiatif Sarawak Informal Education (IFE) – Community Skills and Productivity itu membuktikan proses pembelajaran tidak hanya terhad di dalam bilik darjah semata-mata.
Menurut beliau, segala kemahiran berharga yang digarap melalui pengalaman bekerja, aktiviti komuniti, keusahawanan, mahupun pembelajaran sepanjang hayat wajar diberi nilai tambah komersial yang setara.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar penganugerahan sekeping sijil, tetapi ia adalah pengiktirafan terhadap potensi rakyat yang bakal membuka lebih banyak ruang kepada peluang baharu bagi pembangunan peribadi dan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Sarawak IFE pada Isnin.
Menyentuh mengenai pencapaian spesifik inisiatif tersebut, Sagah memberitahu bahawa seramai 17 peserta IFE dalam bidang penjagaan warga emas kini berpeluang mengikuti pengajian secara hibrid menerusi jalinan kerjasama strategik yang disediakan bagi melonjakkan laluan kerjaya mereka.
Pada masa sama, program itu turut merangkumi kelestarian pendidikan khas apabila kemahiran pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa turut diiktiraf, sekali gus membuktikan pendidikan tidak formal mampu membantu pelajar berkeperluan khas mengembangkan kemahiran praktikal mereka.
“Saya amat berharap inisiatif IFE ini dapat diperluaskan kepada lebih banyak sektor, komuniti, dan kumpulan sasar di seluruh Sarawak bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat pengiktirafan sewajarnya,” tambahnya.
Langkah jangka panjang itu, tegas beliau, diyakini mampu membantu individu meningkatkan daya produktiviti, memperkukuh kemahiran khusus, serta meluaskan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.

