
ASTANA – Satu pasukan khas diwujudkan bagi meneliti secara menyeluruh, termasuk aspek berkaitan syarikat pegangan universiti awam, termasuk UiTM Holdings Sdn Bhd, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun lalu meneliti dan menyusun semula syarikat pegangan university agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan serta memberi sumbangan kepada institusi masing-masing.
Menurutnya, usaha berkenaan turut mengambil kira keadaan selepas kerajaan tidak lagi menanggung sepenuhnya keperluan kewangan universiti sejak 2017.
“Apa yang kita dapati, ada juga holdings yang tidak berfungsi dengan begitu baik. Itu langkah pertama yang kita buat dan telah pun kita mulakan beberapa siri untuk melihat semula holdings itu, termasuk UiTM Holdings,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.

Susulan itu, Zambry berkata pasukan khas tersebut antaranya melibatkan tokoh korporat, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Datuk Dr Hamzah Kassim, selain Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil serta bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Tan Sri Idris Jusoh.
“Kita wujudkan satu pasukan baharu untuk melihat secara keseluruhan bagaimana kita hendak melihat semula UiTM dan ini juga melibatkan holdings dan sebagainya.
“UiTM ialah sebuah institusi pendidikan tinggi Bumiputera yang sangat penting, yang perlu kita jaga dan pertahankan supaya tidak berlaku elemen-elemen yang tidak baik di universiti itu,” katanya.
Zambry berkata langkah yang diumumkan Perdana Menteri pada Sabtu adalah selari dengan usaha yang telah dilaksanakan KPT dan kementerian akan meneruskan penelitian terhadap perkara berkenaan.
UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.


