
KOTA KINABALU – Ibu bapa dan penjaga diminta meluangkan lebih banyak masa mendengar serta mengetahui perkembangan anak masing-masing, terutama ketika calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdepan fasa kritikal menjelang peperiksaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sokongan ibu bapa penting bagi memastikan anak-anak tidak berasa terpinggir ketika menghadapi tekanan dan cabaran pembelajaran.
“Luangkanlah sedikit masa untuk mendengar, bertanyakan keadaan anak-anak kita kerana mereka memang memerlukan kita pada masa-masa kritikal ini.
“Ibu bapa juga perlu bertanya mengenai perkembangan anak-anak di sekolah dan tidak membiarkan mereka berasa tidak dipedulikan,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Apresiasi Calon SPM SMK Tebobon, di sini , pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Mustapha melahirkan kebimbangan terhadap kebergantungan sesetengah pelajar kepada gajet, khususnya telefon, untuk mendapatkan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
“Saya ingin berkongsi pengalaman semasa berbual dengan seorang mahasiswa yang mendakwa terpaksa bergantung kepada telefon kerana lebih mudah mendapatkan jawapan melalui ChatGPT berbanding bertanya kepada ibu bapa.
“Dia kata, ‘Sebab apabila saya tanya masalah dengan ibu bapa saya, tidak ada jawapan atau lambat. Tapi bila saya tanya ChatGPT, dalam kurang daripada berapa minit, ada terus jawapan’,” kongsinya.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, keadaan itu menunjukkan pentingnya ibu bapa sentiasa dekat dengan anak-anak bagi membolehkan mereka berkongsi masalah dan mendapatkan pandangan serta bimbingan.
“Saya mengingatkan bahawa maklumat yang diperoleh melalui teknologi tidak semestinya benar atau berasaskan prinsip yang sepatutnya, justeru bimbingan ibu bapa tetap diperlukan.
“Saya tidak mahu anak-anak kita yang ada ini tidak dipedulikan oleh ibu bapa dan mereka terpaksa cari solusi sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa terus menjadi tempat anak-anak mendapatkan kekuatan, khususnya ketika mereka membuat persediaan menghadapi SPM.
Mustapha turut mengingatkan calon supaya tidak terlalu membandingkan pencapaian diri dengan rakan-rakan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik dalam peperiksaan.






