KUALA LUMPUR – Penganjur acara larian di ibu negara digesa menyelaraskan laluan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan gangguan trafik susulan penutupan jalan yang berubah-ubah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah menetapkan laluan standard mengikut jarak larian untuk digunakan oleh penganjur.
“Tiga kilometer, ini laluannya. Lima kilometer, ini laluannya. Penganjur tidak boleh sesuka hati memilih laluan mana yang mereka nak,” katanya, dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Hannah, penyelarasan itu penting supaya pengguna jalan raya dapat mengetahui lebih awal laluan yang akan terlibat dan merancang perjalanan masing-masing.
“Untuk minggu ini sahaja, satu larian, 30 jalan ditutup. Saya tak boleh terima ini.
“Saya tidak mahu orang ramai tidak dapat merancang perjalanan untuk masuk ke bandar. Kita perlu pastikan larian ini tersusun,” katanya.

Hannah berkata, cadangan itu bukan bertujuan menghalang penganjuran acara larian, sebaliknya memastikan aktiviti berkenaan dilaksanakan secara lebih teratur tanpa menjejaskan pergerakan trafik.
Katanya, perkara itu penting memandangkan lebih sejuta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap hari.
Beliau berkata, penganjur yang memerlukan laluan berbeza boleh mempertimbangkan lokasi lain yang kurang sesak, selain menggunakan laluan sedia ada seperti yang dimanfaatkan bagi program Hari Tanpa Kenderaan.
“Kuala Lumpur sebuah kota raya yang perlu tersusun. Saya tidak mahu orang ramai membazir masa berjam-jam menunggu jalan dibuka,” katanya.

