
KOTA KINABALU – Pembinaan muzium baharu di Kota Kinabalu kini memasuki fasa perancangan selepas mendapat kelulusan Kabinet negeri, dengan beberapa lokasi di ibu negeri sudah dikenal pasti untuk dipertimbangkan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Shamsureezal berkata, keputusan itu dicapai selepas cadangan pembinaan muzium baharu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan dipersetujui secara dasarnya.
“Pemilihan lokasi akan diteliti dengan lebih terperinci memandangkan sebuah muzium memerlukan kawasan yang sesuai, selain mengambil kira keperluan pemeliharaan artifak yang sensitif terhadap keadaan udara dan kelembapan.
“Perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet dan telah diluluskan. Kami sekarang akan mencari tempat yang terbaik kerana untuk membina satu muzium ini ia memerlukan satu kawasan yang baik.
“Kita kena juga berfikir berkenaan dengan artifak yang ada kerana artifak-artifak ini sangat sensitif dengan udara dan juga humidity,” ujarnya semasa merasmikan Program Borneo Lab 2026 di Muzium Negeri Sabah pada Jumaat.

Menurut Andi, faktor berkaitan artifak menjadi antara pertimbangan penting dalam menentukan lokasi serta konsep pembangunan muzium baharu berkenaan.
“Aspek teknikal berkaitan pemeliharaan artifak akan diperincikan oleh kementerian sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai lokasi dibuat.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kerana hasil usaha beliau dalam membawa cadangan pembangunan muzium baharu ke peringkat Kabinet.
“Secara generalnya, muzium baharu ini telah dipersetujui dalam Kabinet dan ini merupakan hasil usaha Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan muzium sedia ada masih belum diputuskan, termasuk sama ada bangunan itu akan dinaik taraf atau dirobohkan.
“Perkara ini masih dalam peringkat awal dan memerlukan perbincangan lebih mendalam di peringkat kementerian sebelum keputusan dibuat.
“Muzium yang sekarang kita akan perbaiki. Namun, secara detailnya kita akan tengok semula sama ada kita akan demolish ataupun kita akan menaik taraf muzium yang ada sekarang,” jelasnya.

Menurutnya, kementerian perlu meneliti sama ada bangunan muzium sedia ada masih sesuai dipelihara atau sebaliknya, termasuk mengambil kira keperluan pembangunan muzium baharu.
“Perbincangan lanjut juga penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan bangunan lama tidak menjejaskan usaha pemeliharaan koleksi dan artifak yang ada.
“Kita ada beberapa lokasi dan seperti yang saya katakan tadi, kita perlu bincangkan dengan lebih mendalam sebab isu artifak ini sangat sensitif dengan udara, dengan humidity dan sebagainya,” kongsinya.
Tambahnya, beberapa lokasi berpotensi telah dikenal pasti di peringkat kementerian, namun kesemuanya masih dalam penelitian dan belum dimuktamadkan.
“Di peringkat kementerian sudah ada beberapa lokasi yang terkait dan semuanya berada di KK,” katanya.
“Pembinaan muzium baharu itu dijangka memberi nafas baharu kepada usaha pemeliharaan dan pameran khazanah sejarah Sabah, namun lokasi, reka bentuk serta kaedah pelaksanaan projek masih akan diperincikan kementerian pada peringkat seterusnya.”



