BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di kediaman keluarganya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun di sini kira-kira pukul 11.05 pagi tadi bagi menziarahi jenazah abang kandungnya, Allahyarham Idrus Ibrahim yang meninggal dunia, petang semalam.
Ketibaan beliau diiringi oleh isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sebaik sahaja sampai di pekarangan kediaman tersebut, Anwar meluangkan masa menyapa orang ramai yang berada di situ sejak awal pagi sebelum memasuki ruang rumah.
Sementara itu, beberapa pemimpin dilihat turut meluangkan masa menziarahi jenazah Allahyarham termasuk Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Noora Ashikin Raja Abdullah,
Turut kelihatan ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid serta beberapa pemimpin setempat.
Allahyarham Idrus, 84 tahun, yang juga merupakan anak kedua daripada lapan beradik sebelum itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 5.30 petang semalam dipercayai ketika sedang tidur.
Beliau yang juga bekas guru dan guru besar meninggalkan seorang isteri, empat orang anak serta 10 orang cucu.



