SEREMBAN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan mengingatkan semua pihak supaya tidak mengalihkan isu daripada persoalan utama membabitkan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, institusi Undang dan Adat Perpatih.
Ketua Penerangan AMK Negeri Sembilan, Azizul Hakim Mahdi berkata, rakyat perlu bersama-sama memberikan sokongan dan penghormatan kepada institusi berkenaan di bawah naungan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, isu membabitkan institusi berkenaan perlu dilihat berdasarkan saluran yang sah serta kerangka adat dan undang-undang yang menjadi asas pemerintahan Negeri Sembilan.
“AMK Negeri Sembilan menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk bersama-sama memberikan sokongan dan penghormatan kepada institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta sistem Adat Perpatih yang menjadi tunjang kepada identiti, sejarah dan sistem pemerintahan Negeri Sembilan sejak turun-temurun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azizul Hakim berkata, Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan dan adat tersendiri, dengan empat luak utama iaitu Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol yang secara tradisinya dipimpin oleh Undang.
Katanya, institusi Undang bukan sekadar warisan sejarah, sebaliknya sebahagian daripada struktur adat dan pemerintahan negeri yang perlu dihormati.
Beliau turut menegaskan AMK Negeri Sembilan berdiri teguh mempertahankan institusi Undang Luak Jelebu serta menghormati proses adat berkaitan pengisian pusaka Undang Luak Jelebu.
“Berdasarkan keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dilaporkan pada 1 Ogos 2026, jawatan tersebut adalah kosong selepas keputusan Waris Berundang daripada tiga perut berhubung penyandang terdahulu,” katanya.
Sehubungan itu, AMK Negeri Sembilan mengajak seluruh Anak Negeri Sembilan tanpa mengira daerah, suku atau latar belakang supaya bersama-sama memelihara keharmonian dan mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Besar, institusi Undang serta Adat Perpatih.
Azizul Hakim berkata, rakyat yang mahu menyatakan sokongan secara aman turut diseru menyertai Himpunan Gabungan NGO Melayu, sidang media dan penyerahan memorandum yang dijadualkan pada Jumaat ini di hadapan Wisma Negeri, Seremban.
Katanya, penyertaan hendaklah dilakukan secara aman, tertib dan menghormati undang-undang.
“Matlamatnya bukan untuk mencetuskan perbalahan, tetapi untuk menyatakan bahawa warisan adat, institusi Undang dan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di bawah naungan Tuanku Muhriz perlu terus dihormati melalui saluran yang sah,” katanya.

