HANGZHOU – Kepentingan peniaga kecil, perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia diberi jaminan akan terus diambil kira dalam sebarang urusan perniagaan membabitkan syarikat China, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jaminan itu diberikan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang susulan kebimbangan Malaysia terhadap potensi penguasaan pihak luar yang boleh menjejaskan kepentingan peniaga tempatan.
Katanya, perkara itu dibangkitkan secara langsung ketika mesyuarat dua hala bersama Li Qiang, selain turut dibincangkan dengan syarikat berkaitan termasuk Alibaba.
“Kita mendapat jaminan daripada syarikat berkaitan, termasuk Alibaba, serta Li Qiang sendiri. Beliau memberi jaminan kaedah terbaik akan dicari supaya sebarang urusan perniagaan tidak menjejaskan kepentingan peniaga PKS di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Anwar berkata, tindakan susulan berhubung perkara itu akan dibincangkan selepas mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Malaysia dan China turut bersetuju untuk menyambung laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu atau Tumpat ke Rantau Panjang.
Katanya, sambungan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kawasan pedalaman di Kelantan, malah membuka ruang hubungan terus dengan Thailand.
“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan bagi kawasan sebelum ini terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia dan China turut membincangkan isu strategik yang dihadapi kedua-dua negara serta rantau ASEAN, termasuk perkembangan berkaitan pertemuan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping di Washington DC.
Mengenai tekanan perdagangan dan tarif AS, beliau berkata China sedia maklum mengenai isu berkenaan, namun Malaysia kekal dengan pendirian bahawa perkara itu adalah urusan dua hala antara AS dan China.
“Maklumat boleh dikongsi tetapi kita berpendirian ruang dialog dan perbincangan terus dengan pihak AS akan tetap kita teruskan,” katanya.


