HANGZHOU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta DAP supaya tidak tunduk kepada tekanan pihak berkepentingan yang mahu melihat Kerajaan Perpaduan menjadi tidak stabil.
Beliau berkata, tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mendesak keseluruhan DAP berundur daripada kerajaan.
“Ada orang kata, kenapa Anthony Loke? Patut semua DAP keluar. Itu cadangan siapa? Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah. Bukan dia cadangkan (keputusan pengampunan), malah dia cuba sedaya upaya menolak.
“Jadi saya fikir DAP jangan tunduk kepada tekanan orang ada kepentingan kerana dia mahu kerajaan tidak stabil,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media Malaysia dalam perjalanan menaiki kereta api berkelajuan tinggi dari Shanghai menuju ke Hangzhou, hari ini.
Menurutnya, beliau menghormati prinsip perjuangan Anthony dan DAP, khususnya pendirian mereka berhubung isu kleptokrasi dan rasuah, namun pada masa sama perlu melihat kesan daripada sebarang keputusan yang dibuat.
“Dia beri hujah tentang prinsip perjuangan. Jadi saya kata saya tidak berbeza pendapat. Cuma saya tentunya akan beri pandangan tentang apa hasilnya.
“Saudara pilih untuk perkuatkan kerajaan dalam keadaan sekarang atau melemahkan? Dan nak tunduk kepada siapa?” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau memberi ruang kepada Anthony untuk menjelaskan pendiriannya dan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan berhubung hasrat peletakan jawatan berkenaan.
“Saya beri ruang, saya tak mahu terburu-buru dan gopoh kerana saya hormat keputusan dia,” katanya.
Loke sebelum ini menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Anthony hari ini menegaskan pendiriannya untuk meletakkan jawatan kekal dan beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar selepas pulang ke tanah air dari China.


