
SUNGAI SIPUT – Kegiatan seorang lelaki mencari rotan di kawasan hutan bersama rakannya berakhir tragedi apabila dia maut dipercayai diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor, di sini, petang Isnin.
Mayat mangsa, Zamberi Angah, 43, ditemukan pada jam 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang sebelum operasi pencarian dimulakan pada jam 6.30 petang.
“Pasukan Perhilitan bergegas ke lokasi dan bertemu dengan anak mangsa.
“Operasi pencarian turut membabitkan anggota Balai Polis Lintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela serta kira-kira 30 penduduk kampung dan pekerja balak.
“Pada jam 6.58 petang, mangsa ditemukan di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak, kira-kira 200 meter dari lokasi yang dipercayai berlaku serangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kesan tapak kaki harimau belang dan kesan gigitan pada leher mangsa turut ditemukan, selain beberapa petunjuk lain seperti kesan pergelutan, seretan dan darah di sekitar lokasi penemuan mangsa.
Pazil berkata, pihaknya turut akan membantu keluarga mangsa menerusi Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar.
“Khidmat nasihat berkaitan langkah keselamatan turut diberikan kepada penduduk kampung bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Perhilitan juga akan memasang perangkap harimau dalam masa terdekat bagi mengesan dan menangkap haiwan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berharap tindakan pemantauan dan kawalan dapat dilaksanakan segera bagi menjamin keselamatan penduduk, khususnya masyarakat Orang Asli yang bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan kehidupan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan berkenaan buat sementara waktu, sentiasa berwaspada dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa.
“Mohon juga agar gambar asal mangsa tidak disebarkan bagi menghormati perasaan dan privasi keluarga,” katanya dalam kenyataan malam tadi.



