KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri itu berhubung keputusan menerima proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, parti itu berpandangan tindakan berkenaan wajar disiasat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, Putra melihat keputusan berkenaan sebagai percubaan untuk mengganggu-gugat institusi diraja Negeri Sembilan.
“Putra juga berpandangan bahawa tindakan tersebut boleh mewujudkan suatu duluan (precedent) yang menjejaskan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta perjalanan sistem perundangan negara.
“Keputusan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan perundangan yang sewajarnya dibuat dan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri diperoleh sebelum keputusan berkenaan dipersetujui secara sebulat suara.
“Putra juga berpandangan bahawa tindakan tersebut mencetuskan kekeliruan dan menghasut sebahagian masyarakat sehingga memudaratkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seksyen 121 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan melancarkan perang, cuba melancarkan perang atau bersubahat melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
Terdahulu, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan secara kolektif untuk mengiktiraf proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai sah.
Susulan keputusan itu, barisan Exco berkenaan turut menggesa supaya Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pertikaian berhubung institusi diraja negeri itu kemudian berlarutan apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Putra kemudian membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Ismail serta barisan Exco terbabit.



