
KOTA KINABALU – Dua penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah 2026 membuktikan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka peluang baharu meskipun melalui latar belakang serta perjalanan hidup berbeza.
Bagi penerima Anugerah Ketua Pengarah (Kolej Komuniti), Monicah Michael, 31, kejayaan itu diraih selepas bangkit daripada kegagalan menamatkan pengajian pada usia muda sebelum kembali menyambung pendidikan di Kolej Komuniti Lahad Datu.
“Saya pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Kuala Lumpur selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun tidak dapat menghabiskannya atas beberapa masalah tertentu.
“Gagal sekali tidak bererti gagal selama-lamanya. Inilah buktinya,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, pengalaman bekerja dalam pelbagai bidang sebelum ini mengajarnya untuk terus cekal dan tidak menjadikan faktor usia sebagai penghalang untuk kembali menuntut ilmu.
“Perbezaan usia antara saya dengan rakan sekuliah sekitar 10 hingga 11 tahun pada awalnya menjadi cabaran, terutama apabila perlu menyesuaikan diri dengan generasi muda.
“Belajar bersama generasi Z sedangkan saya daripada generasi milenial memang agak mencabar. Namun, nasihat saya kepada mereka yang senasib dengan saya, jangan berputus asa dan percayalah kepada diri sendiri,” katanya.

Cabaran Monicah turut bertambah apabila perlu membahagikan masa antara pengajian dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada seorang anak perempuan berusia 11 tahun.
“Sokongan keluarga menjadi antara kekuatan utama untuk saya meneruskan pengajian, selain kebolehan menguruskan masa antara persekolahan anak, kelas dan program pengajian.
“Banyak ilmu yang dipelajari boleh diaplikasikan dalam kehidupan dan bukan semata-mata digunakan di dalam kelas,” katanya.
Kini, ilmu yang diperoleh menerusi Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta perniagaan keluarganya.
Monicah membantu ibunya menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran dan buah-buahan, selain bersama-sama mengusahakan ladang kelapa sawit.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Industri TVET – Sabah Association of Personal Technicians & Technologists (SAPTT), Edison Chia Yi Loong, melihat TVET sebagai platform yang menghubungkan kemahiran teknikal dengan keperluan industri masa hadapan.
“Saya merupakan lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Politeknik Kota Kinabalu serta pernah menjalani latihan industri di Einstronic Enterprise Sdn Bhd di Donggongon.
“Selepas itu, saya bekerja sebagai pembangun teknologi selama setahun bagi mengembangkan kemahiran dalam bidang Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Antara projek yang pernah saya sertai ialah AgriData dan sistem hidroponik yang berpotensi membantu petani beralih daripada kaedah manual kepada sistem pertanian lebih automatik,” kongsinya.
Edison berkata, beliau berusaha mengembangkan penggunaan IoT dan teknologi di Sabah, khususnya dalam memperkukuh sekuriti makanan.
“Usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import, selain meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian tempatan,” katanya.
Edison kini melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan berharap penggunaan teknologi pertanian pintar dapat diperluas bagi meningkatkan pengeluaran makanan di Sabah.
Kisah Monicah dan Edison memperlihatkan pendidikan TVET bukan sahaja menyediakan kemahiran memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, malah menjadi landasan untuk membina semula perjalanan pendidikan serta menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat.


