
KOTA KINABALU – Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak Kerajaan Sabah mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jidar simpanan penjanaan meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026 dan dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.
“Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut bertambah baik daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai 2026.
“Perkembangan itu hasil pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem Grid yang dilaksanakan secara berterusan, termasuk pengukuhan infrastruktur penghantaran dan pembahagian.
“Antara perkara yang dibincangkan termasuk semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Tambah Hajiji, penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) melalui proses bidaan kompetitif turut dirancang bagi menyokong pengukuhan sistem penjanaan dan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Pantai Timur.
“Bagi memperkukuh bekalan elektrik di Pantai Timur, kerajaan negeri turut merancang pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi
“Saya berharap kebolehpercayaan diperkukuhkan dalam sistem bekalan elektrik Sabah, di samping memastikan keperluan industri dan pengguna dapat dipenuhi dengan bekalan yang lebih stabil, berdaya harap dan berpatutan,” tegasnya.




