KUALA LUMPUR – Pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan kini mendapat perlindungan subsidi bil elektrik, susulan keputusan Kerajaan MADANI memperluas had berkenaan daripada 600 kWj.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.
Beliau berkata, pengguna yang berada dalam had penggunaan baharu itu akan diberikan pengecualian terhadap Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales & Service Tax),” katanya dalam kenyataan di Facebook, petang ini.
Anwar berkata, keputusan itu diambil sebagai tindakan segera kerajaan bagi menangani tekanan hidup rakyat ketika ini.
Menurutnya, keadaan jerebu dan cuaca lebih panas mutakhir ini menyebabkan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah meningkat.
Katanya, sesetengah isi rumah yang sebelum ini berada di bawah paras 600 kWj kini mencatat penggunaan lebih tinggi, sekali gus menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.
Keputusan memperluas perlindungan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan kos elektrik di pejabatnya hari ini.Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada TNB, PETRA dan ST atas peranan mereka dalam memastikan langkah itu dapat dilaksanakan dengan segera.
“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan kos bahan api serta keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira kemampuan dan beban hidup rakyat.
Pada masa sama, katanya, keterjaminan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara akan terus menjadi pertimbangan kerajaan.





