PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan identiti rasmi pejabat berkenaan.
PMO dalam kenyataan hari ini menegaskan surat bertarikh 17 Julai 2026 yang mendakwa Jemaah Menteri meluluskan cadangan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi kerja-kerja pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan atau menandatangani surat berkenaan.
“PMO menafikan sebarang kaitan dengan dokumen serta kelulusan seperti yang didakwa dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, menyebarkan atau berkongsi dokumen palsu berkenaan.
Sebelum ini, tular menerusi aplikasi WhatsApp sepucuk surat bertajuk ‘Kelulusan Projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) Oleh Jemaah Menteri’ yang mendakwa cadangan projek pelebaran Lebuhraya PLUS arah utara telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Surat tersebut turut menyatakan kelulusan berkenaan tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan kerajaan serta pematuhan terhadap keperluan perundangan, kewangan dan teknikal yang berkuat kuasa.
Dokumen berkenaan turut memaparkan nama dan tandatangan yang didakwa milik Anwar.




