
KETEGASAN dan ketenangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan konflik Gaza, Israel dan Iran dalam satu wawancara bersama stesen televisyen India, Thanti TV baru-baru ini mendapat perhatian netizen.
Dalam wawancara berkenaan, pengacara cuba mendapatkan respons Anwar mengenai konflik membabitkan Amerika Syarikat (AS), Iran dan Israel, termasuk dengan mengetengahkan dakwaan bahawa Iran tidak menghormati gencatan senjata.
“Kita semua terkesan dengan perang US-Iran-Israel,” kata pengacara itu sebelum Anwar menjawab: “Dan hentikan pengeboman.”
Apabila pengacara menyatakan Iran tidak menghormati gencatan senjata, Anwar kemudian membalas dengan persoalan, “Siapa yang asyik teruskan serangan bom?”
Pengacara terbabit kemudiannya hanya tersenyum sebelum Anwar meneruskan penjelasannya mengenai konflik Palestin-Israel.
“Saya bukan mewakili Hamas, tapi Hamas baru 20 tahun, sedangkan perang di Gaza sudah lebih 70 tahun.
“Seolah-olah semua benda yang kamu sebut dan salahkan Hamas. Tetapi 30 tahun dulu, Hamas tiada, adakah masalah selesai? Tidak,” katanya.
Anwar berkata, penyelesaian kepada konflik berkenaan memerlukan pertimbangan yang rasional dan keinginan untuk menghentikan keganasan tanpa terus menuding kesalahan kepada satu pihak sahaja.
“Jadi, saya rasa kita perlukan akal dan naluri. Anda mahu hentikan keganasan, saya sokong. Tetapi bila bicara masih bunuh orang Palestin setiap hari dan tiada siapa bersuara, ia sedih,” katanya.
Pengacara itu sekali lagi cuba mengetengahkan isu Tehran, namun Anwar menegaskan penyelesaian perlu dicapai melalui rundingan dan penghentian serangan.
“Dan bincanglah, hentikan bom dan bincang. Saya mahu penyelesaian segera sebab semua terkesan, harga petrol beratus dollar,” katanya.
Wawancara itu kemudian mendapat perhatian pengguna media sosial yang memuji cara Anwar mengendalikan soalan berkaitan isu sensitif berkenaan.
Pengguna Threads, c.rf47, menyifatkan Anwar bijak mengelak daripada terperangkap dengan soalan pengacara sebaliknya membawa perbincangan kepada sejarah konflik Palestin-Israel.
“Dalam hal ini PMX sangat bijak. Dia tak terperangkap dengan soalan sebaliknya dia tarik timeline tu sebelum Hamas untuk make a factual statement,” katanya.
Seorang lagi pengguna, ahmdnazrafq, pula memuji ketenangan Anwar ketika menjawab soalan berkenaan.
“Cara dia jawab pun full composure, berfikir dulu sebelum jawab. A lot to learn,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna lain, aweeff, turut memberikan reaksi terhadap gaya soalan pengacara, namun menyelitkan kritikan terhadap media dan sentimen pro-Israel di India.
Wawancara tersebut menjadi perhatian terutama kerana Anwar tidak hanya menjawab isu konflik semasa, sebaliknya mengaitkannya dengan sejarah panjang konflik Palestin-Israel serta menegaskan keperluan menghentikan serangan dan kembali kepada rundingan.






