
KOTA BHARU – Orang ramai termasuk pempengaruh diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu komuniti Rohingya kerana perbuatan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan provokasi serta menjejaskan keamanan negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebarang maklumat berkaitan lokasi komuniti berkenaan hendaklah disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.
Menurutnya, tindakan segelintir pihak yang mendakwa terpaksa mengambil tindakan sendiri susulan kelewatan pihak berkuasa boleh membawa implikasi negatif sekiranya dipengaruhi emosi.
“Jika tindakan diambil oleh orang perseorangan seperti pempengaruh, kita bimbang ia akan melampaui batas dan tidak mengikut lunas undang-undang,” katanya, seperti dilaporkan berita tempatan pada Isnin.

Mengulas tindakan menularkan lokasi yang didakwa menjadi penempatan komuniti Rohingya, Noor Hisam berkata, maklumat berkenaan seharusnya disalurkan terus kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan susulan diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Kita pun tidak tahu apa niat mereka menularkan maklumat itu, sama ada mahu menggalakkan orang lain mengambil tindakan sendiri atau sebagainya.
“Lapor kepada kami supaya tindakan susulan dapat diambil mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada, termasuk di bawah Akta Imigresen atau pelbagai akta lain,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis tidak mahu penyebaran maklumat berkaitan komuniti berkenaan mencetuskan provokasi atau menjejaskan ketenteraman awam.
“Kita lihat sekarang ini di media sosial pun banyak provokasi atau mesej negatif berkaitan Rohingya.
“Kita tidak mahu perkara ini merosakkan keamanan,” katanya.



