SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan tiada proses sah yang menyebabkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhenti daripada memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berhubung penurunan takhta baginda adalah cacat sejak awal dan tidak sah di sisi Perlembagaan.
Katanya, tiga daripada empat individu yang menandatangani Proklamasi berkenaan tidak memegang jawatan Undang menurut adat Luak masing-masing pada tarikh berkenaan.
“Malah, perkara 10 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan bahawa Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar selepas siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.
“Syarat itu adalah mandatori, namun tiada siasatan sedemikian yang pernah dilaksanakan, tiada yang pernah dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia tidak pernah diberi notis atau peluang untuk didengar.
“Justeru, Proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu adalah cacat sejak awal,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas Mesyuarat DKU Khas di Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Raja Norazli berkata, keadaan itu turut diperkukuh apabila Menteri Besar yang ketika itu memegang jawatan enggan menandatangani Proklamasi berkenaan pada 20 April 2026.
Katanya, keengganan itu dibuat di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 atas alasan syarat Perkara 10 tidak dipenuhi, selain salah seorang penandatangan bukan seorang Undang.
“Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang siasatan diadakan bagi memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS 1959.
Menurutnya, tindakan Menteri Besar baharu menandatangani proklamasi sama yang didakwa berlaku pada 3 Ogos lalu juga tidak memulihkan keabsahan dokumen berkenaan.
Beliau berkata, Menteri Besar baharu tidak boleh melaksanakan semula fungsi yang sudah dilaksanakan sebelum ini.
“Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan,” jelasnya.
Mengulas kenyataan media oleh Undang pada 5 September lalu dan sidang media kumpulan berkenaan pada 8 September, Raja Norazli berkata, kedua-duanya tidak mempunyai apa-apa kesan kerana hanya bersandarkan kepada Proklamasi 19 April 2026 yang didakwanya cacat dan sudah luput.
Katanya, surat cara bertarikh 3 Ogos 2026 juga tidak menambah apa-apa kepada keabsahan proklamasi berkenaan.
“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan (DKU). Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan itu.
“Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah. Seseorang yang tidak memegang jawatan tidak boleh menjalankan kuasa jawatan itu,” katanya.
Raja Norazli berkata, apa-apa tindakan yang dilakukan atas nama jawatan yang tidak dipegang tidak mempunyai kesan di sisi adat.
Beliau berkata, ketika ini Undang Luak Sungei Ujong disandang Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau oleh Dato’ Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol oleh Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammed Abdullah.
Katanya, jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong pula adalah kosong.”Tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September 2026 lalu dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang.





