
KOTA KINABALU – Program Kampung (Kg) Siaga 221 yang dilaksanakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) penting dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan komuniti kampung menghadapi kemungkinan berlakunya bencana.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, program berkenaan memberi pendedahan kepada masyarakat Kg Kokol, Menggatal mengenai persediaan asas menghadapi bencana.
“Antara latihan diberikan termasuk kemahiran asas menyelamat, bantuan kecemasan seperti CPR, kaedah menangani situasi tercekik serta penggunaan peralatan menyelamat.
“Program ini penting. Satu, kita kena mendekatkan Angkatan Pertahanan Awam ini dengan masyarakat.
“Yang kedua, untuk kita memberi kesedaran kepada komuniti kampung dan menyediakan mereka sekiranya berlaku bencana sebab bila berlaku bencana,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana APM Negeri Sabah di Dewan Kampung Kokol, Menggatal, di sini pada Sabtu.

Menurut Mustapha, komuniti kampung merupakan pihak pertama yang berdepan bencana, justeru kewujudan sukarelawan APM di kampung dapat membantu menjalankan usaha menyelamat lebih awal sebelum agensi seperti APM dan bomba tiba di lokasi.
Tambahnya, program itu turut bertujuan memupuk minat terhadap aspek kesukarelaan dalam kalangan generasi muda sejak di bangku sekolah, termasuk melalui penglibatan APM di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, Pengarah APM Sabah, Timbalan Pesuruhjaya (PA) Mohd Yusoff Samad berkata, pemilihan Kg Kokol sebagai lokasi program dibuat berdasarkan kawasan yang mempunyai risiko bencana atau kemungkinan berlakunya bencana.

“Kita pilih kampung ini lebih berdasarkan kawasan-kawasan yang penuh dengan bencana ataupun kemungkinan akan berlaku bencana.
“Program ini juga merupakan program tahunan APM dan nama 221 itu merujuk kepada Akta 221 tahun 1952 yang telah dipinda dan disemak semula pada 2015.
“Insya-Allah kalau peruntukan tahun hadapan kita akan perbanyakkan lagi untuk pelaksanaan komuniti punya Kampung Siaga 221 ini,” katanya.
Tambah Mohd Yusoff, sebanyak tiga kampung dipilih untuk pelaksanaan program berkenaan, antaranya Sandakan dan Tawau bagi tahun 2026 manakala secara keseluruhan sebanyak sembilan kampung telah diwujudkan sejak program itu dilaksanakan tiga tahun lalu.



