Jika tiada keikhlasan, lebih baik UMNO bergerak solo pada PRU16

KUALA LUMPUR – UMNO disarankan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya kerjasama yang mahu dibentuk dengan mana-mana parti politik hanya atas dasar nama dan tiada keikhlasan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani, Mohamad Aswad Mohamed Amir berkata, mengambil contoh kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu masih belum benar-benar wujud sama ada pada peringkat negeri mahupun akar umbi.

Menurut beliau, realiti politik di negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) berbeza meskipun kedua-dua gabungan membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

“Hubungan antara kedua-dua pihak masih jauh pada peringkat akar umbi, manakala gerak kerja bersama hampir tidak kelihatan. Kalau menjelang PRU16 keadaan ini masih sama, jangan kita terlalu bergantung kepada satu kerjasama yang hakikatnya belum pernah benar-benar terbina di Kedah.

“UMNO Kedah kena bersedia berdiri atas kekuatan sendiri,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad Aswad berkata, UMNO Kedah perlu membina semula kekuatan parti, merapatkan akar umbi serta mendapatkan kembali keyakinan rakyat, khususnya kaum Melayu di negeri itu selain tidak perlu menunggu pihak lain untuk menentukan masa depannya di samping tidak harus takut untuk bergerak sendiri sekiranya keadaan memerlukan.

“Bukan kerana kita bermusuh dengan sesiapa dan bukan kerana kita menolak sesiapa. Tetapi sebuah parti yang mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat mesti terlebih dahulu yakin dengan kekuatannya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Aswad menegaskan, UMNO boleh menilai sebarang kerjasama yang benar-benar ikhlas dan memberi manfaat kepada perjuangan parti.

Dalam usaha mengambil semula kuasa pentadbiran di Kedah, beliau berkata, parti tidak boleh hanya mempersoalkan kaedah untuk kembali berkuasa, sebaliknya perlu menjawab mengapa rakyat patut memberikan semula kepercayaan kepada UMNO.

“Bagaimanapun, sekiranya kerjasama itu hanya wujud pada nama sedangkan akar umbi masih bergerak sendiri, UMNO Kedah perlu jujur menerima realiti tersebut. Jawapannya bukan kerana UMNO pernah memerintah Kedah, sejarah kita panjang atau kita rasa sudah sampai masa kita.

“Kuasa bukan hak kita. Kuasa adalah amanah rakyat. UMNO perlu memberikan sebab, idea lebih besar dan tawaran lebih baik jika mahu rakyat kembali menyokong parti ini,” katanya. 

Related Posts

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR –  Wanita UMNO mahu semangat yang dicetuskan dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 diterjemahkan kepada gerak kerja di lapangan, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan seterusnya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi isyarat jelas bahawa sayap itu sudah bersedia untuk ‘berperang’ menentang Pakatan Harapan (PH) di kesemua 28 kerusi Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO

Beri ruang, peluang lebih ramai Puteri UMNO digilap jadi wakil rakyat 

Beri ruang, peluang lebih ramai Puteri UMNO digilap jadi wakil rakyat 

Pemuda UMNO sambut baik penyatuan ummah bersama Pas

Pemuda UMNO sambut baik penyatuan ummah bersama Pas