KUALA LUMPUR – Kegagalan wakil rakyat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan boleh menjejaskan kredibiliti UMNO, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong, Khairul Aizat.
Beliau berkata, wakil rakyat UMNO, khususnya dalam kalangan Pemuda, perlu memastikan tanggungjawab kepada rakyat dilaksanakan dengan sebaiknya dan tidak mengambil mudah amanah yang diberikan.
Katanya, sekiranya terdapat wakil rakyat yang gagal menjalankan tugas, mereka wajar dipertimbangkan untuk tidak dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang.
“Berkaitan dengan wakil-wakil rakyat kita, kita sedia maklum bahawa wakil-wakil rakyat UMNO, terutamanya di kalangan Pemuda ini, memang bekerja untuk rakyat.
“Bagaimanapun, sekiranya ada wakil-wakil rakyat yang mungkin tidak menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, saya sangat menyokong sekiranya diambil tindakan dan Pemuda sendiri tidak mencalonkannya lagi pada masa pilihan raya akan datang,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairul Aizat berkata, tindakan berkenaan penting bagi memastikan UMNO terus mempertaruhkan calon yang benar-benar mampu bekerja dan memenuhi amanah kepada rakyat.
“Ini secara tak langsung akan menjejaskan kredibiliti UMNO itu sendiri sekiranya pihak Pemuda itu sendiri tidak menjalankan amanah yang telah diberikan,” katanya.
Kenyataan itu menyusuli teguran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini membangkitkan isu sikap segelintir wakil rakyat atau pemimpin yang didakwa tidak menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan tugas.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Kerja Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong, Mohd Hanafi Sowarni berkata, Pemuda UMNO akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan hala tuju pergerakan itu.

Beliau berkata, Pemuda berperanan melaksanakan arahan Presiden serta menggerakkan kerja parti di peringkat akar umbi, termasuk sekiranya terdapat keputusan berkaitan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas.
“Untuk cadangan penyatuan ummah antara Barisan Nasional dan juga Pas, Pemuda menyambut baik usul yang dicadangkan dan apa pun kita akan mengikut apa yang Presiden.
“Presiden kalau mengatakan benda itu berlaku, kita pun kena ikut. Kita sebagai Pemuda kena ikut apa yang Presiden perintahkan.
“Sebagai Pemuda kita hanya menggerakkan kerja di bawah dan juga di akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda akan terus memainkan peranan sebagai penggerak parti di peringkat akar umbi dan melaksanakan apa juga keputusan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan.




