Calon UMNO pasti kalah jangan lagi ‘ditunggang’ pada PRU16

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor mengingatkan kepimpinan parti untuk tidak lagi memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan populariti dalam parti semata-mata, sebaliknya menggunakan data dan penerimaan rakyat sebagai ukuran utama.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat, Wan Zulaika Anua berkata, UMNO perlu mula membuat persediaan PRU16 dari sekarang dengan mengenal pasti kawasan berpotensi, mengemas kini data pengundi, memperkukuh jentera dan mendekati golongan muda.

Menurut beliau, pemilihan calon juga perlu berdasarkan kemampuan sebenar untuk menang kerana seseorang yang popular dalam parti belum tentu mendapat penerimaan sama daripada pengundi.

“Wanita Selangor tidak akan merajuk. Kita tidak akan memecahkan parti. Kita akan bekerja. Kita akan membantu memenangkan calon parti.

“Tetapi jangan beri kami calon yang kita sendiri sudah tahu akan kalah. Kita jangan berebut kerusi sampai lupa kenapa kita mahu kerusi. Kita mahu kerusi untuk menang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Zulaika berkata, jentera Wanita sentiasa bersedia bekerja untuk memenangkan calon parti, namun keputusan memilih calon yang berisiko kalah tidak seharusnya diletakkan di bahu mereka untuk diperbaiki ketika pilihan raya.

Pada masa sama, beliau turut tidak menolak usaha wajah baharu atau golongan profesional sebagai calon, namun meminta mereka diperkenalkan lebih awal kepada akar umbi dan diberi tanggungjawab bagi membuktikan kemampuan serta membina penerimaan rakyat.

“Popular dalam parti tidak semestinya popular di hati rakyat. Kita kena ada data. Kalau mahu membawa calon baharu, bawalah lebih awal. Kenalkan kepada akar umbi. Beri tanggungjawab. Beri peluang bekerja. Bina penerimaan.

“Jangan tunggu pilihan raya hampir tiba, kemudian muncul satu nama dan akar umbi diminta menerima tanpa soal,” katanya.

Beliau berkata, anggota parti yang telah lama berjuang juga berhak mendapat penilaian yang adil, meskipun tidak bermakna mereka mempunyai hak automatik untuk dipilih sebagai calon.

“Jika ada calon luar yang lebih baik, lebih kuat dan lebih berpotensi menang, buktikan dengan data. Buktikan dengan kerja. Buktikan dengan penerimaan rakyat.

“Jangan sekadar datang dengan nama besar tetapi akar umbi yang terpaksa menanggung risiko,” tegasnya.

Dalam pada itu, Wan Zulaika menyifatkan Wanita UMNO bukan sekadar jentera yang turun padang untuk menyelamatkan keputusan pemilihan calon yang dibuat pada saat akhir.

Beliau turut mengingatkan bahawa undi rakyat bukan hak UMNO, sebaliknya perlu dimenangi melalui kerja dan strategi yang tersusun.

“Wanita UMNO bukan mesin untuk membaiki keputusan yang salah. Wanita UMNO adalah jentera untuk mencipta kemenangan.

“Rakyat hari ini mempunyai banyak pilihan. Kesetiaan tidak boleh lagi diandaikan. Undi bukan hak kita. Undi mesti dimenangi. Politik bukan tentang siapa paling ego. Politik adalah tentang siapa yang menang,” katanya.

Related Posts

Jika tiada keikhlasan, lebih baik UMNO bergerak solo pada PRU16

KUALA LUMPUR – UMNO disarankan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya kerjasama yang mahu dibentuk dengan mana-mana parti politik hanya atas dasar nama dan tiada keikhlasan untuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Selepas PRU16, UMNO tidak perlu lagi terikat dengan mana-mana parti politik

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas keputusan Parlimen tergantung hanyalah persinggahan sementara dan bukan destinasi akhir UMNO. Ketua Pemuda UMNO Johor,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jika tiada keikhlasan, lebih baik UMNO bergerak solo pada PRU16

Jika tiada keikhlasan, lebih baik UMNO bergerak solo pada PRU16

Calon UMNO pasti kalah jangan lagi ‘ditunggang’ pada PRU16

Calon UMNO pasti kalah jangan lagi ‘ditunggang’ pada PRU16

Jangan jadi Tuhan tentukan syurga, neraka – Sheikh Wazir

Jangan jadi Tuhan tentukan syurga, neraka – Sheikh Wazir

Keterbukaan UMNO beri kerjasama SPRM langkah tepat – Noh Omar

Keterbukaan UMNO beri kerjasama SPRM langkah tepat – Noh Omar

Selepas PRU16, UMNO tidak perlu lagi terikat dengan mana-mana parti politik

Selepas PRU16, UMNO tidak perlu lagi terikat dengan mana-mana parti politik

Wanita UMNO perlu bantu raih semula kepercayaan rakyat – Noraini

Wanita UMNO perlu bantu raih semula kepercayaan rakyat – Noraini