
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Khamis.
Pertemuan yang dipercayai bermula kira-kira jam 4 petang itu dipercayai bagi mendapatkan penjelasan Ismail berhubung isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail dilihat meninggalkan WTC KL kira-kira jam 6.30 petang dengan menaiki kenderaan rasmi Menteri Besar selepas selesai pertemuan berkenaan.
Bagaimanapun, Ismail tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
Pertemuan itu turut disertai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta beberapa pemimpin tertinggi parti.
Difahamkan, pertemuan itu dipercayai bagi mendapatkan penjelasan Ismail berhubung isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika ditemui media tengah hari tadi mengesahkan beliau akan bertemu Ismail bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.
Pertemuan tersebut berlangsung ketika kontroversi berkaitan dokumen berkenaan terus menjadi perhatian, khususnya berhubung kedudukan dan proses yang membawa kepada kewujudan Surat Cara Proklamasi terbabit.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai hasil pertemuan antara Ahmad Zahid dan Ismail belum didedahkan kepada umum setakat ini.
Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak selepas pertemuan hampir dua jam itu berakhir.







