Beri ruang, peluang lebih ramai Puteri UMNO digilap jadi wakil rakyat 

KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi UMNO diseru memberikan ruang dan kepercayaan kepada sayap puteri parti itu untuk digilap menjadi wakil rakyat, bukannya  sekadar memandang mereka sebagai bakal pemimpin masa depan.

Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Zawawi menegaskan, Puteri UMNO tidak memohon ruang atas dasar usia muda, sebaliknya kerana sayap parti terbabit sudah bersedia memikul amanah serta membuktikan kemampuan di pentas politik tanah air.

Menurut beliau, kepimpinan tertinggi UMNO perlu mendengar suara wanita, khususnya golongan muda di samping memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kewibawaan di pentas politik tanah air.

“Puteri adalah pemimpin masa depan. Kalau benar Puteri adalah masa depan, berikan kami ruang untuk memimpin hari ini. Dengar suara kami, berikan kami peluang, kepercayaan dan tanggungjawab.

“Kami tidak meminta ruang kerana kami muda, tetapi kami meminta ruang kerana kami bersedia untuk memikul amanah. Masa depan tidak menunggu kita, kitalah yang kena membina masa depan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Khamis.

Mengulas hala tuju pergerakan itu, Nurul Amal berkata, Puteri UMNO perlu mengalihkan pendekatan daripada sekadar slogan kepada solusi, program kepada impak, serta janji kepada bukti bagi memastikan ia kekal menjadi wadah pilihan wanita muda di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan pimpinan Puteri UMNO di peringkat bahagian serta negeri agar membawa pulang semangat perhimpunan untuk berkhidmat kepada rakyat, tanpa menjadikan isu kewangan sebagai alasan.

“Kalau kita kekurangan kewangan, kita buat cara tidak ada duit. Membantu masyarakat juga adalah satu solusi supaya orang ramai nampak Puteri UMNO sentiasa ada bersama mereka. Pemimpin itu dilahirkan melalui tanggungjawab.

“Jangan kita berubah daripada perjuangan parti. Apa yang kita buat, apa yang kita bina, apa yang kita cakap, biarlah melambangkan wajah Putri UMNO seorang yang matang, seorang yang bijak, seorang yang boleh membawa suara wanita muda, dan seorang yang wanita muda harapkan untuk masa depan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Amal turut mengingatkan para perwakilan agar kekal berpegang teguh kepada prinsip perjuangan UMNO tatkala berdepan dengan dinamik politik semasa yang tidak menentu.

Menjelang sambutan 25 tahun penubuhan pergerakan itu, beliau mahu generasi Puteri UMNO hari ini menjadi teladan terbaik agar perjuangan mereka menjadi inspirasi serta asas kukuh buat generasi akan datang.

“Hari ini kita berdepan pelbagai landskap politik — kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan. Namun satu perkara yang saya pesan, jangan sesekali kita berubah daripada perjuangan parti.

“Biarlah apa yang kita buat dan cakap melambangkan wajah Puteri UMNO yang matang, bijak serta mampu membawa suara yang diharap-harapkan oleh wanita muda,” katanya.

Related Posts

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri menjawab persoalan berkaitan integriti dan beberapa isu yang didakwa masih belum mendapat penjelasan tuntas. Akmal berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR –  Wanita UMNO mahu semangat yang dicetuskan dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 diterjemahkan kepada gerak kerja di lapangan, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan seterusnya…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO