
KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar menyifatkan kepulangannya ke UMNO sebagai ‘sirih pulang ke gagang’, selepas bertahun-tahun tidak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata, beliau berasa bangga dapat kembali menghadiri perhimpunan parti berkenaan yang disifatkannya sebagai sebuah parti politik yang hebat dan kuat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada UMNO yang menjemput saya. Saya berasa begitu berbangga kerana saya sudah lama tidak menghadiri perhimpunan UMNO bertahun-tahun.
“Ia adalah satu parti politik yang hebat dan kuat,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Noh berkata, keputusan untuk kembali kepada UMNO didorong dua prinsip yang menjadi pegangannya, termasuk pendirian parti itu untuk tidak bersama DAP serta memperkukuh perpaduan Melayu.
“Saya pulang kepada UMNO kerana prinsip saya ada dua, di mana UMNO tidak bersama DAP dan perpaduan Melayu, perkara ini telah terlaksana.
“Saya harap UMNO akan terus kekalkan prinsip ini bukan setakat pada PRN Melaka tetapi juga pada PRU16,” katanya.
Mengulas mengenai gagasan Rumah Bangsa, Noh berkata, beliau amat gembira dengan usaha UMNO itu yang bukan sahaja bertujuan menyatukan semula ahli parti, malah membuka ruang kepada penyatuan dengan parti Melayu lain.
Katanya, kerjasama antara UMNO dan Pas khususnya perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kedua-dua parti bertembung dalam pilihan raya.
“Saya amat gembira UMNO memulakan Rumah Bangsa bukan sahaja untuk menyatukan semula ahli-ahli UMNO, (tetapi) boleh bersatu dengan parti Melayu, terutamanya Pas.
“Kalau Pas dan UMNO tidak bertembung dalam mana-mana pilihan raya, saya yakin perpaduan Melayu akan kembali menjadi politik dominan di Malaysia ini,” katanya.
Noh berkata, usaha menyatukan parti-parti Melayu perlu dilihat sebagai langkah penting untuk mengembalikan kekuatan politik Melayu di negara ini.
Beliau turut berharap gagasan Rumah Bangsa dapat menjadi platform yang lebih luas bagi menyatukan kembali orang Melayu tanpa mengira perbezaan parti dan seterusnya memperkukuh kedudukan politik Melayu pada masa hadapan.
Sebelum ini, UMNO memaklumkan seramai 21,858 ahli baharu serta bekas ahli dan pimpinan parti itu, termasuk pimpinan Bersatu di seluruh negara, menyertai semula UMNO dalam tempoh kurang dua bulan selepas pendaftaran dalam talian dibuka pada 20 April.
Noh antara tokoh yang disenaraikan kembali ke parti itu menerusi gagasan Rumah Bangsa.
PAU 2026 berlangsung dari 9 hingga 12 September di WTC Kuala Lumpur, dengan Rumah Bangsa menjadi antara tema yang diketengahkan UMNO dalam usaha menyatukan semula keluarga parti serta memperkukuh kesatuan perjuangan







