
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi menganalisis ribuan aduan rakyat dengan lebih pantas dan tepat, termasuk berkaitan banjir, sampah haram dan jalan berlubang.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, ribuan aduan diterima pihak berkuasa tempatan (PBT), namun sebahagian besar data berkenaan sebelum ini hanya disimpan dalam bentuk Excel dan tidak dipersembahkan secara menyeluruh kepada umum.
“Isu utama apabila rakyat bising seolah-olah kerajaan negeri tidak membuat kerja, walhal data mengenai aduan itu wujud dalam jumlah beratus dan beribu.
“Melalui AI, kita boleh melihat data itu dengan lebih baik dan mencari penyelesaian tuntas serta jawapan lebih tepat dengan pantas,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohammad Fahmi berkata, AI bukan sekadar digunakan untuk menghasilkan rumusan data, sebaliknya mampu menjalankan analisis lebih terperinci termasuk membuat unjuran berdasarkan lokasi, tarikh, hari dan jenis aduan.
Katanya, analisis sedemikian memerlukan perisian khusus yang disesuaikan dengan keperluan kerajaan negeri dan tidak semestinya dapat dilakukan menggunakan aplikasi AI umum seperti Gemini atau ChatGPT.
“Perisian analitik khusus ini memerlukan sedikit penyesuaian untuk mengkhususkan penggunaannya bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan kumpulan fokus (FGD) bulan ini bagi mengenal pasti 20 proses kerja di PBT yang berpotensi diterapkan elemen AI untuk mempercepatkan automasi dan pendigitalan.
Menurutnya, analisis data berkaitan banjir, lokasi tapak sampah haram dan jalan berlubang antara aspek yang diberi perhatian.
Beliau berkata, penganjuran Hackathon AI Selangor 2026 turut membuktikan negeri itu mempunyai bakat muda dalam bidang teknologi berkenaan, dengan 88 penyertaan diterima pada peringkat awal sebelum 30 peserta dipilih melalui proses saringan.
“Tiga pemenang daripada pihak swasta dipilih dan mereka ini akan diberi peluang bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengaplikasikan AI untuk menganalisis data yang ada di Selangor,” katanya.
Mohammad Fahmi berkata, kerajaan negeri turut memberi pengiktirafan kepada tiga syarikat yang menjalankan latihan AI, dengan salah sebuah daripadanya dipilih untuk bekerjasama melatih tenaga kerja dalam struktur kerajaan negeri.


