MARAN – Seramai 17 pesakit terselamat selepas berlaku kebakaran di ruang siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita, Hospital Jengka, kira-kira jam 7 malam tadi.
Daripada jumlah itu, 11 adalah kanak-kanak – enam lelaki dan lima perempuan – dan enam lagi adalah pesakit wanita.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kebakaran membabitkan kira-kira 10 peratus bahagian siling dan pendawaian kedua-dua wad tersebut.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba dalam masa 20 minit. Semua pesakit terselamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu anggota polis dari Balai Polis Jengka dan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, serta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka dan Kuala Krau.







