
MIRI – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang.
Beliau juga merangkap Ahli Parlimen Miri itu menyifatkan tragedi tersebut sebagai amat menyayat hati memandangkan kesemua mangsa sedang menabur bakti kepada rakyat.
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juruterbang terbabit sedang gigih melaksanakan tanggungjawab menyalurkan perkhidmatan kesihatan buat masyarakat di kawasan pedalaman.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris mangsa yang sedang melalui saat yang amat sukar ini,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan The Malaysia Press (TMP).
Beliau turut menzahirkan penghargaan tertinggi kepada semua anggota keselamatan, pasukan penyelamat serta pihak berkuasa yang bertungkus-lumus terlibat dalam operasi pengurusan tragedi berkenaan.
Seluruh rakyat diseru untuk bersama-sama mendoakan agar waris mangsa diberikan kekuatan, ketenangan dan ketabahan bagi menghadapi ujian kehilangan yang amat berat ini.





