
KUNAK – Tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih hak Sabah dan isu yang masih belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperjuangkan oleh Kerajaan Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
“Dalam mesyuarat itu kita akan membincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang lagi belum selesai dalam perjanjian MA63.
“Jadi kita pun sebenarnya terima kasih kepada Perdana Menteri kerana semasa pemerintahan beliau, sembilan perkara telahpun selesai dan diturunkan kuasa kepada negeri Sabah,” katanya kepada media selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini, pada Selasa.

Menurut Hajiji, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan bayaran 40 peratus berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.
“Dulu ada empat perkara, jadi kesemuanya 13 (perkara) telah diselesaikan.
“Ada lagi yang belum selesai. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan tapi ianya tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu.
“Jadi apa yang kita bincang nanti ini adalah perkara-perkara yang belum selesai dan kita akan kemukakan lagi untuk mesyuarat MA63 seterusnya,” ujarnya.
Hajiji turut menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang hampir siap dan dijangka mula mengeluarkan vitamin E sebelum akhir tahun ini.
“Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu selain dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya.
“I think this is the first in Malaysia (Saya rasa ini yang pertama di Malaysia). Jadi ini satu perkembangan yang bagus.
“Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga manfaat kepada syarikat yang bekerjasama itu,” tambahnya.





