BALING – Hujan lebat selama empat jam menyebabkan Sungai Iboi melimpah dan mengakibatkan empat kawasan di daerah ini dilanda banjir, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kawasan yang terjejas ialah Kampung Iboi, Kampung Sadek, Kampung Bendang Bechah dan Sriti Kupang.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian limpahan air di jambatan Kampung Iboi pada pukul 8.05 malam.
“Saya bersama sepasukan anggota BBP Baling melakukan pemantauan di lokasi dan mendapati berlaku limpahan air serta arus deras dari Sungai Iboi dan Lata Celak. Keadaan itu berisiko kepada penempatan rendah yang berhampiran sungai, namun tiada mangsa terlibat pada ketika itu,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pada pukul 9 malam, pihaknya menerima maklumat beberapa rumah di Kampung Bendang, Lorong Penghulu Hassan mula dimasuki air akibat arus Sungai Iboi.
“Sebanyak enam rumah dinaiki air, namun semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak dipindahkan kerana air mula surut. Bagaimanapun, arus sungai masih deras dan berisiko,” katanya.





