KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi ini, bagi menghadiri sambungan perbicaraan kes membabitkan Program Jana Wibawa.
Muhyiddin berdepan tujuh pertuduhan, iaitu empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta.
Dalam prosiding semalam, Mahkamah Tinggi diberitahu RM25.3 juta yang dimasukkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh beberapa syarikat dan individu bukan sumbangan politik, sebaliknya bayaran sebagai balasan mendapatkan projek di bawah Program Jana Wibawa.
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mazery Mohd Zaini, 42, berkata transaksi berkenaan berlaku antara 22 September 2021 hingga 22 November 2022.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-29 berkata siasatan mendapati wang berkenaan disalurkan oleh KCJ Engineering Sdn Bhd, Sutracom Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Datuk Seri Azman Yusoff.
Perbicaraan hari ini diteruskan di hadapan Hakim Datuk Noor Ruwena Md Nurdin.





