
MIRI – Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai pintu gerbang utama industri umrah di rantau Borneo menerusi pembangunan ekosistem yang lebih profesional dan berdaya saing.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan strategik wilayah ini memberikan kelebihan untuk menjalin hubungan pasaran bersama Sabah, Kalimantan dan Brunei.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada majlis penutupan Sarawak Umrah & Islamic Tourism Expo Festival 2026 (SUITEX26).
“Kita mahu menjadi pemain dan melihat Sarawak mempunyai ekosistem umrah yang lebih tersusun, profesional serta berdaya saing,” katanya.
Acara berkenaan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) dengan Forum Kolaborasi Perusahaan Perjalanan Ibadah Umrah (FKPPIU) Kalimantan Barat.
Kerajaan Sarawak juga melancarkan Buku Pelaksanaan Solat Fardhu dan Solat Sunat Harian sebagai panduan persediaan jemaah.
Inisiatif pembangunan ekosistem industri ibadah ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan rantaian ekonomi pelancongan tempatan.






