
KOTA KINABALU – Sambutan Hari Sabah yang diraikan serentak dengan Hari Kebangsaan setiap tahun terus mendapat sambutan menggalakkan apabila ribuan penonton membanjiri Dataran Bandaraya Kota Kinabalu bagi menyaksikan pelbagai acara yang berlangsung, pada Isnin.

Salah seorang pengunjung, Nurizrahtull Lem, 29 berkata, Hari Sabah ini merupakan hari yang sangat penting khususnya warga Sabah dalam memperingati kemerdekaan Sabah.
“Saya sebagai warga Sabah khususnya hari ini sangat rasa berbangga kerana dapat sama-sama meraikan hari Sabah ini.
“Bagi pendapat saya untuk acara julung kalinya ini sangat memberi impak kepada kita semua khususnya generasi muda dan kalau kita tengok, hari ini ramai generasi muda yang datang dan ini adalah sangat baik.
“Saya difahamkan ada perarakan budaya-budaya dan itu adalah sangat penting untuk kepada generasi muda memperingati ataupun menghargai serta mengenali,” katanya ketika ditemui wartawan TMP, pada Isnin.
Tambahnya lagi, sambutan ini juga dapat mempamerkan keunikan budaya di Sabah sekali gus menyemarakkan semangat cinta Sabah.
“Ramai yang masih tidak tahu Sabah mempunyai pelbagai budaya. Kepelbagaian ini perlu dihargai kerana menjadi antara tunjang kekuatan dan identiti kita dalam mencapai kemerdekaan,” kongsinya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung dari Ipoh, Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, 52, berkata, Sabah mempunyai keunikan dari segi budaya, pelbagai etnik bersatu padu dalam meraikan hari kemerdekaan Sabah.
Katanya, walaupun beliau tidak mengetahui adanya acara sambutan Hari Sabah tetapi di Sabah sangat meriah dan harmoni.
“Saya lihat sangat sambutan hari ini meriah dan semua bangsa harmoni serta bersatu padu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shazlean berkata, ekonomi negara kita semakin membaik dimana semua rakyat terus berusaha meningkat meningkatkan taraf hidup masing-masing.
“Kita harapkan generasi muda dan semua rakyat akan menjadikan Malaysia di tahap yang lebih tinggi.
“Untuk Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) tahun ni, sambutlah dengan penuh kegembiraan dan keharmonian. Bagi rakyat Negeri Sabah, kekalkanlah kesejahteraan, keharmonian dan bersatu padu,” katanya.

Rosnah Manuwil, 61, yang merupakan pengunjung tetap HKHS setiap tahun turut berkongsi rasa bangga dengan keamanan Negara Malaysia, khususnya Sabah.
Katanya, negara kita tidak seperti negara luar, kita di sini aman dan damai serta tidak ada peperangan.
“Saya ucapkan selamat hari merdeka kepada semua rakyat Malaysia dan selamat menyambut Hari Sabah,” kongsinya.





