KUANTAN – Kerajaan Pahang menegaskan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada kawalan ketat, syarat tertentu dan prosedur ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan untuk tidak melaksanakan siasatan awam dalam proses berkenaan dibuat berdasarkan bidang kuasa negeri terhadap pengurusan tanah dan hutan.
Beliau berkata, pendekatan itu tidak hanya diamalkan oleh Pahang, malah beberapa negeri lain turut mengambil langkah sama.
“Pahang melihat kepada tanah dan hutan sebagai urusan negeri, jadi eloklah kerajaan negeri menguruskannya dan lagipun kita ada syarat-syarat tertentu… setakat ini, ia berjalan dengan baik,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Inisiatif Makmur Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy mengulas demikian ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan negeri yang tidak mengadakan siasatan awam sebelum HSK dinyahwartakan.
Sebelum ini, Pahang dilaporkan menjadi negeri keempat tidak menerima pakai dua perlindungan utama di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, iaitu kewajipan mengadakan siasatan awam dan menyediakan tanah ganti sebelum sesuatu kawasan HSK dinyahwartakan.






