
KOTA KINABALU – Perpaduan kaum perlu terus dipertahankan sebagai kunci kekuatan Sabah, terutama dalam mendepani cabaran era kemodenan ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, rakyat khususnya generasi muda perlu terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan serta memelihara keharmonian dalam kepelbagaian bangsa dan agama di negeri ini.
“Perpaduan kaum adalah kunci kekuatan kita yang perlu terus dipertahankan, terutama dalam era kemodenan masa kini.
”Kedua-dua sambutan itu bukan sekadar untuk diperingati, sebaliknya perlu dihayati bagi menyemai semangat patriotik serta menghargai pengorbanan pejuang tanah air.
“Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan pada 31 Ogos.
Menurut Hajiji, tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, mencerminkan komitmen kerajaan membina negara yang maju, inklusif dan harmoni, selain memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.
”Sementara itu, tema Hari Sabah, Sabah Tanah Airku, pula mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat terhadap negeri ini.
“Tema ini juga membawa mesej bahawa pentingnya semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara keharmonian, yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan sebarang anasir yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecah-belahkan keharmonian rakyat di negeri ini.
“Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menyeru rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di rumah, pejabat, kenderaan serta premis perniagaan sebagai tanda patriotisme dan kecintaan kepada negara serta negeri.





